Webinar: Society, Ethical and Profesional Issues in Information Technology

FSKM telah menganjurkan program “Society, Ethical and Profesional Issues in Information Technology” secara atas talian pada 28/5/2021. Program ini merupakan satu inisiatif fakulti melalui projek SULAM (Service Learning – University for Society), iaitu khidmat komuniti yang perlu dianjurkan oleh para pelajar universiti untuk masyarakat setempat di SMK Derma, Kangar. Seramai 78 orang pelajar SMK Derma telah menghadiri program ini dengan diiringi oleh dua orang guru kaunselor mereka iaitu Puan Noraziyanti Rahim dan Cik Nurzatun Ali.

SULAM mempunyai fokus utama iaitu memberi impak kepada masyarakat. Ia mementingkan sumbangan universiti dalam meningkatkan pengetahuan atau kemahiran sesebuah komuniti pilihan. Oleh itu, bagi sekolah menengah, tema kesedaran buli siber dipilih kerana remaja, iaitu para pelajar sekolah merupakan antara pengguna utama pelbagai aplikasi atas talian seperti media sosial dan permainan atas talian. Bagi memberi pendedahan tentang bahaya buli siber dan langkah-langkah untuk menangani buli siber, program ini menggunakan empat video klip yang telah dihasilkan sendiri oleh para pelajar kod kursus ITS610/ICT652. Pensyarah yang terlibat ialah Dr Aznoora Osman dan Dr Nadia Abdul Wahab.

Dua aktiviti utama telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Aktiviti pertama ialah para peserta menonton video-video tentang apa itu siber buli, contoh-contoh kes buli siber, bahaya dan kesan buli siber, dan bagaimana untuk menangani buli siber. Aktiviti kedua, para peserta dikehendaki menjawab dua kuiz untuk menguji pengetahuan mereka mengenai buli siber, sebelum dan selepas program dijalankan. Hadiah-hadiah menarik telah disediakan kepada para pemenang kuiz tersebut.

Program seperti ini akan diteruskan lagi pada semester hadapan, dengan pelbagai topik berkaitan alam siber kerana ia dapat menjadi satu platform untuk membantu remaja menjadi pengguna siber yang bijak dan berhemah.