Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH), UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Bengkel Literasi Teknologi IR 4.0. Program yang berlangsung pada 20 Ogos 2026 ini melibatkan penyertaan 40 orang pelajar Tingkatan 2 dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis. Program dimulakan dengan sesi lawatan di Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH) dan diteruskan dengan bengkel Teknologi IR 4.0 di Makmal Komputer PDJH 2, UiTM Cawangan Perlis.
Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti latihan secara teori dan hands-on melalui modul literasi teknologi IR4.0 yang merangkumi Artificial Intelligence (AI) dan Geographic Information System (GIS). Latihan dikendalikan oleh barisan pensyarah FSKM iaitu Ts. Dr. Norziana Yahya dan Dr. Mahfudzah Othman, serta dibantu oleh barisan fasilitator Puan Rashidah Ramlee, Ts Hawa Mohd Ekhsan dan Puan Nor Hazlinda Idris, Pensyarah dari Polimas, Jitra sebagai fasilitator jemputan. Program ini merupakan kesinambungan inisiatif Program Transformasi Literasi Teknologi IR 4.0 (TECHLIT-IR4) dalam memperkukuh literasi teknologi digital, memupuk kreativiti, serta membimbing pelajar menghasilkan projek inovasi berasaskan teknologi IR4.0.