Webinar Kesedaran Keselamatan Siber

FSKM, UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Webinar Kesedaran Keselamatan Siber pada 29 Jun 2022 di SMK Derm, Kangar, Perlis. Program webinar ini merupakan satu inisiatif fakulti melalui projek SULAM (Service Learning – University for Society) , iaitu khidmat komuniti yang perlu dianjurkan oleh para pelajar universiti untuk masyarakat setempat. Komuniti pilihan kami ialah SMK Derma, Kangar.

SULAM mempunyai fokus utama iaitu memberi impak kepada masyarakat. Ia mementingkan sumbangan universiti dalam meningkatkan pengetahuan atau kemahiran sesebuah komuniti pilihan. Oleh itu, bagi sekolah menengah, tema kesedaran keselamatan siber dipilih kerana remaja, iaitu para pelajar sekolah merupakan antara pengguna utama pelbagai aplikasi atas talian seperti media sosial, online shopping dan permainan atas talian.

Bagi memberi pendedahan tentang bahaya jenayah siber dan langkah-langkah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa, program ini menggunakan empat video klip yang telah dihasilkan sendiri oleh para pelajar kod kursus ITS610/ICT652. Topik yang dikupas merangkumi henti sebar berita palsu, terlebih kongsi, awas jenayah siber, dan sindiket penipuan dalam talian – elak jadi mangsa.

Dua aktiviti utama telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Aktiviti pertama ialah para peserta menonton video klip serta mendengar ceramah ringkas dan diselangi dengan aktiviti permainan dan teka silangkata.

Aktiviti kedua, para peserta dikehendaki menjawab kuiz untuk menguji pengetahuan mereka mengenai jenayah siber.

Hadiah-hadiah menarik telah disediakan kepada para pemenang kuiz tersebut.

Berdasarkan keputusan kuiz dan soalan-soalan santai yang diajukan ketika seminar berlangsung, didapati bahawa webinar ini telah berjaya meningkatkan tahap kesedaran remaja tentang jenayah siber.