Jalinan Ramadhan 2022

FSKM UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan sebuah program yang dinamakan Jalinan Ramadhan 2022 pada 19 April 2022 di Rumah Teduh, Kangar, Perlis. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Ts. Dr. Syukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir bersama dalam program ini ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan b. Mohd Ishak dan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Ts. Dr. Siti Zulaiha Ahmad, dan juga Koordinator Kursus  Jabatan Sains Komputer, Puan Nora Yanti Che Jan dan Koordinator Kursus Jabatan Sains Matematik dan Statistik, Puan Suzanawati Abu Hasan.

Acara dimulakan dengan penyerahan sumbangan kepada pengurus Rumah Teduh, Bonda Harisun oleh Rektor UiTM. Seterusnya, acara disambung dengan penyerahan duit raya kepada anak-anak Rumah Teduh oleh Timbalan Rektor HEA. Barisan staf Rumah Teduh juga tidak dilupakan di mana Ketua Pusat Pengajian FSKM menyampaikan cenderahati kepada mereka.

Aktiviti bersama anak-anak dimulakan dengan pertandingan mewarna untuk anak- anak berusia di antara 3 tahun hingga 11 tahun; dan tayangan video “Aritmetik Dalam Al-Quran” untuk anak-anak di antara 12 tahun hingga 18 tahun. Slot pertama untuk aktivi bersama anak-anak ditamatkan dengan permainan “telefon karat” yang turut disertai oleh beberapa orang staf Rumah Teduh.

Aktiviti diteruskan dengan kuiz Kahoot! selepas solat Asar. Slot ini mendapat sambutan yang menggalakkan di mana peserta perlu menjawab soalan berdasarkan tayangan video pada slot pertama tadi. Aktiviti ditamatkan dengan acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

Sukarelawan berpeluang untuk lebih mendekati dan meraikan anak-anak istimewa ini semasa Majlis Iftar di mana dua orang anak-anak berusia di bawah 12 tahun ditempatkan bersama-sama dengan seorang sukarelawan untuk berbuka bersama.   Kesimpulannya, program ini telah berjaya menyediakan peluang dan ruang untuk anak-anak istimewa ini bergembira di dalam bulan Ramadhan yang mulia.