Seminar Research and Innovation in Computer Science (RICS2021)

FSKM telah menganjurkan seminar Research and Innovation in Computer Science (RICS2021) secara atas talian pada 13/8/2021. Seminar ini telah dihadiri oleh 92 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian FSKM, UiTM Cawangan Perlis, Ts. Dr. Siti Zulaiha Ahmad. Turut hadir ialah penasihat untuk seminar ini iaitu Ts. Dr Abidah Hj Mat Taib dan Dr. Aznoora Osman.

Penceramah jemputan ialah Ts. Amir Haris Ahmad, Pengarah Syarikat DNSVault Sdn. Bhd, yang juga merupakan alumni program Diploma Sains Komputer (CS110) UiTM Cawangan Perlis. Beliau memberikan motivasi dan pendedahan tentang kerjaya dalam bidang pengkomputeran dan keselamatan data dan perangkaian.

Seminar RICS2021 merupakan satu program yang dirangka dengan menggabungkan pertandingan projek inovasi dan ceramah kerjaya. Ia bertujuan untuk mempamerkan beberapa projek tahun akhir (final year project – FYP) yang terbaik dalam kalangan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Data dan Perangkaian. Dr. Aznoora Osman, selaku Koordinator FYP bagi CS240 telah memberikan pengenalan ringkas tentang FYP di FSKM dan matlamat pertandingan inovasi tersebut.

Dalam aktiviti ini, enam video klip tentang produk inovasi hasil daripada FYP telah dimainkan. Video-video ini terpilih hasil daripada penilaian juri dalaman. Antara kriteria penilaian ialah kualiti inovasi yang dihasilkan dari segi gabungan teknologi, serta sumbangannya kepada masyarakat dan negara. Kualiti video turut menjadi salah satu kriteria penting dalam penilaian kerana video yang disusun atur kemas, mempunyai elemen multimedia yang ringkas tetapi elegan, serta lengkap dengan penerangan bersuara adalah lebih mudah difahami dan menarik perhatian sesiapa yang menontonnya.

Seterusnya, para hadirin dapat mendengar ceramah kerjaya daripada penceramah jemputan. Penceramah telah memperkenalkan latar belakang beliau dari segi pendidikan dan pengalaman kerja serta kejayaan yang beliau perolehi terutamanya berkaitan produk inovasi. Beliau turut mendedahkan tentang teknologi terkini yang harus dikuasai oleh graduan kerana kebanyakan syarikat memerlukan tenaga mahir yang boleh membangunkan perisian dan sistem dengan menggunakan Big Data, Artificial Intelligence, Machine Learning, Mobile Platform dan sebagainya. Ia merupakan satu sesi yang amat bermanfaat, dan menginspirasikan, terutamanya bagi pelajar-pelajar tahun akhir yang bakal memulakan latihan industri tidak lama lagi.